Wednesday 9 September 2009

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia


Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 Dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia
9 September 2009

Dimaklumkan pada hari ini sejumlah 173 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pada masa yang sama sejumlah 174 kes telah didiscaj. Ini menjadikan baki seramai 1,175 ILI sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 275 pesakit (23%) telah disahkan positif H1N1.
Daripada 275 kes yang telah disahkan H1N1, 41 kes berada di ICU di mana 3 kes merupakan kemasukan baru, sementara 2 lagi kes telah keluar dari ICU. Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, 33 (80%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah seperti berikut: penyakit respiratori (Asma, COAD) (6), Diabetes Mellitus (4),  penyakit ginjal kronik (1), penyakit immunosuppressive (1), penyakit neurologi kronik (1), wanita hamil (1), obesiti (12) dan kanak-kanak bawah 5 tahun (7).
Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A(H1N1) didaftarkan pada hari ini.
Sempena musim peperiksaan UPSR sepanjang minggu ini, Kementerian Kesihatan ingin menasihati ibu bapa atau penjaga terutamanya yang ada anak yang terlibat dengan peperiksaan, supaya sentiasa memantau tahap kesihatan anak tersebut. Sekiranya anak ada gejala ILI, pastikan mereka  mendapatkan rawatan daripada klinik atau hospital berhampiran. Pastikan anak-anak yang ada gejala ILI tidak keluar rumah kecuali untuk menduduki peperiksaan sahaja. Selain itu, ibubapa atau penjaga juga dikehendaki memaklumkan kepada pihak sekolah tentang kesihatan anak mereka supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil oleh pihak sekolah.
Kementerian Kesihatan juga ingin meminta kerjasama petugas-petugas yang mengawasi peperiksaan supaya mengasingkan pelajar yang mempunyai gejala ILI daripada pelajar yang sihat. Pelajar yang mempunyai gejala ILI dikehendaki  memakai topeng muka. Ini kerana selagi pelajar itu masih mempunyai tanda-tanda atau gejala, dia masih mengeluarkan virus dari batuk atau bersin dan boleh menjadi punca jangkitan kepada pelajar lain.
Pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan perlu mengamalkan cara hidup yang sihat termasuk tidur yang cukup, makan makanan sihat, meminum air secukupnya dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri serta kerap cuci tangan menggunakan air dan sabun terutama selepas menyentuh mulut dan hidung atau permukaan yang berpotensi dicemari virus. Elakkan menyentuh mulut dan hidung jika ia belum dibersihkan atau dicuci. Segera memberitahu ibubapa/penjaga dan guru sekiranya mempunyai gejala ILI supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan sebarang kesulitan untuk mereka menduduki peperiksaan.
Maklumat serta perkembangan semasa jangkitan influenza A(H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-88810200 atau 03-88810300 yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang. Pertanyaan juga boleh diajukan melalui email cprc_h1n1@moh.gov.my. Orang ramai juga boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini tentang H1N1.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 9 September 2009

0 comments:

Post a Comment

TeRiMa KasiH KeraNa SuDi Komen Kat SiNi

 

ParlieWalla360™ | “Informasi,Hiburan,Muzik,Berita,Artis,Popular,Terkini” Blak Magik is Designed by productive dreams for smashing magazine Bloggerized by Ipiet
Distributed by Deluxe Templates © 2008